My New Life

E-Kamus-Malaysia

Sunday, August 13, 2006

Surat Pembaca BH

Berikut adalah tulisan oleh seorang Unit Trust COnsultant di BH.


Fahami risiko unit amanah lahir pelabur bijak
Oleh Nik Rizal Nik Yusoff (Perunding Profesional Unit Amanah di Kelantan)

BEBERAPA hari lalu kita dihidangkan satu berita iaitu pelaburan dalam unit amanah menerusi pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengalami �kerugian� melebihi RM600 juta. Ramai di kalangan pemimpin kesatuan sekerja dan pengguna membuat ulasan yang sebahagiannya tanpa membuat penyelidikan terlebih dulu.


Tahukah mereka apakah pelaburan unit amanah? Pelaburan jenis ini wujud di Malaysia dari zaman sebelum negara mendapat kemerdekaan lagi. Cuma sejak penghujung 1970-an, kegiatan unit amanah (unit trust) mula menampakkan kerancakan dan mengalami kepesatan pada 1990-an.

Di United Kingdom, kegiatan itu bermula lebih awal. Konsep pelaburan ini sebenarnya membuka peluang kepada golongan �kurang berada� untuk mengikut serta di dalam kegiatan ekonomi melalui pelaburan yang bermodal kecil. Golongan ini tidak mampu menyertai pelaburan hartanah atau melabur di kaunter Bursa Malaysia, atau memulakan perniagaan yang sememangnya memerlukan modal besar.

Dengan hanya bermodalkan RM500 hingga RM1,000, mereka boleh membuat pelaburan yang dikendalikan pengurus dana berpengalaman dan profesional serta dipantau oleh pemegang amanah, mengikut ikatan amanah (deed) yang dipersetujui.

Kelulusan untuk melancarkan sesuatu tabung amanah (unit trust fund) memerlukan kata putus dari Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara. Jadi ia bukan sekadar suka-suka sesuatu Institusi Pengendali Dana (IPD) boleh melancarkan sesuatu tabung amanah.

Saya berkecimpung di dalam industri unit amanah kerana berasakan ia adalah salah satu cara kita menggalakkan orang ramai membuat simpanan bagi menghadapi masa akan datang. Ramai tidak mengetahui kesan inflasi dan percukaian terhadap status kewangan kita pada masa hadapan.

Sekiranya kita membuat simpanan yang memberikan pulangan kurang daripada kadar inflasi, seolah-olah kita sebenarnya tidak membuat simpanan yang betul. Taraf hidup pada masa akan datang semestinya lebih tinggi ekoran inflasi dan cukai, jadi untuk menghadapinya, kita seharusnya membuat simpanan yang memberikan pulangan melebihi kadar inflasi.

Konsep simpanan dalam unit amanah adalah untuk jangka masa sederhana dan panjang, iaitu pulangan boleh dilihat selepas simpanan melebihi sekurang-kurangnya tiga tahun. Skim pelaburan unit amanah bukanlah suatu skim cepat kaya, yang dijanjikan memberikan pulangan banyak dalam masa singkat. Sebab itu, pelaburan unit amanah boleh dijadikan �saving tool� untuk tabung pembelajaran anak, tabung persaraan dan lain-lain.

Pelabur juga perlu diingatkan bahawa risiko pelaburan tetap ada walaupun wang dilaburkan dalam pelbagai portfolio berbentuk ekuiti, pasaran mata wang, bon dan �real estate investment� (Reit) dengan peratusan tertentu mengikut tahap risiko sesuatu tabung/dana (fund). Ada banyak dana dilaburkan di luar negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang pesat, demi memberikan keuntungan kepada pemegang unit amanah.

Banyak dana yang ditawarkan oleh IPD disesuaikan untuk pelabur yang agak sensitif terhadap pelaburan yang perlu mematuhi prinsip syariah. Pelaburan perlu dibuat ke dalam kaunter komoditi, bon atau hartanah yang diluluskan oleh Jawatankuasa Syariah Suruhanjaya Sekuriti.

Panel jawatankuasa syariah ini terdiri daripada ulama dan profesional yang arif di dalam bidang muamalah yang berteraskan hukum syariah. Dana yang mematuhi prinsip syariah ini setidak-tidaknya mampu memberikan alternatif kepada pelabur Muslim untuk membuat simpanan secara sedikit, bagi mencapai kedudukan kewangan yang lebih baik pada masa hadapan.

Di samping itu, seseorang yang ingin menjadi perunding unit amanah (Unit Trust Consultant � UTC) perlu menjalani proses tapisan oleh institusi pengendali dana (swasta seperti Public Mutual, CIMB Principal Asset Management, Hwang-DBS Investment Managment, OSK-UOB Unit Trust Management, AmInvest, SBB Mutual, ASM Mara Unit Trust Management dan lain-lain) dan mesti menduduki peperiksaan yang dijalankan oleh sebuah badan profesional iaitu Federation of Malaysian Unit Trust Managers (FMUTM).

Hanya mereka yang mempunyai lesen boleh menjalankan proses perundingan dan urusan dalam unit amanah. Seseorang UTC mesti mematuhi etika yang ditetapkan oleh FMUTM. Jadi tuduhan bahawa perunding unit amanah tidak menjalankan tugas dengan baik, perlu dibuktikan secara sah.

Sesetengah dana juga mempunyai pakej perlindungan insurans secara percuma untuk pemegang unit amanah yang memenuhi syarat di samping beberapa kemudahan lain. Ia menambah nilai kepada pelaburan yang dibuat, dengan adanya perlindungan insurans percuma.

Syarikat yang memberikan perlindungan insurans ini juga adalah syarikat insurans yang teguh. Jadi memberikan gambaran bahawa sebahagian pengendali dana amanah ini mendapat pengiktirafan oleh syarikat insurans besar dan teguh.

Saya menyambut baik cadangan KWSP untuk menjaga kepentingan pelabur, namun saya berasakan pelabur perlu memahami setiap perkara pokok dalam pelaburan unit amanah. Antaranya, pelabur mempunyai hak tempoh bertenang (cooling-off period), hak mengetahui risiko sesuatu pelaburan dan hak mengetahui �past-performance� sesuatu dana (walaupun selalu dinyatakan prestasi lalu tidak menjamin prestasi akan datang). Bacalah prospektus sesuatu dana sebelum menandatangani sesuatu borang dan anda berhak mendapat penjelasan daripada UTC.

Ungkapan NAB (Nilai Aset Bersih - Net Asset Value / NAV), caj pengurusan, caj tahunan, nilai jualan, nilai belian akan sentiasa ada sekiranya anda meninjau halaman Amanah Saham atau Unit Amanah dalam akhbar harian kita.

Saya yang juga melabur dalam dana unit amanah yang mematuhi prinsip syariah (Syariah-compliant unit trust funds) ingin menyeru agar bakal pelabur membuat pertimbangan yang sebijak mungkin kerana pilihan bijak memungkinkan kita mendapat tahap kewangan yang kukuh pada masa hadapan.

Pemimpin kesatuan sekerja dan pengguna perlu memahami sedalam-dalamnya sesuatu perkara sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang mungkin boleh memberikan kesan negatif kepada orang lain terutama mereka yang mencari rezeki hanya melalui komisyen industri unit amanah yang sememangnya jauh lebih kecil berbanding komisyen ejen insurans.

Ramai UTC di kalangan Bumiputera yang baru berjinak-jinak dalam industri ini yang perlu sokongan dan galakan daripada kerajaan, untuk mereka lebih maju dan berdaya saing dalam bidang yang sudah lama diceburi oleh rakan kita daripada bangsa lain.

Seorang pelabur bijak adalah yang memahami risiko dan melabur melalui pengendali yang sudah mempunyai �track-record� pengurusan dana yang baik dan memberikan pulangan baik (melebihi kadar inflasi semasa).

Beberapa badan bebas antarabangsa yang berkemahiran dalam industri unit amanah seperti Standard & Poor�s dan Lipper, ada mengeluarkan penilaian profesional mereka terhadap prestasi dana yang ada di Malaysia untuk rujukan pelabur.

Kita perlu juga mengambil pedoman daripada kebijaksanaan Nabi Yusuf AS yang membuat perancangan ekonomi berdasarkan hidayah Allah SWT untuk menghadapi cabaran hari muka. Kita menyimpan sewaktu ada dan digunakan apabila kesempitan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home