My New Life

E-Kamus-Malaysia

Tuesday, August 08, 2006

UNIT AMANAH SAHAM MERUGIKAN??

Surat Khabar hari ini dan semalam sedang rancak membicarakan tentang ‘kerugian’ yang dialami oleh para pelabur Unit Amanah Saham!!!

Nampaknya trend ini boleh membunuh industri pelaburan unit amanah saham Negara. Menurut Artikel itu lagi, jumlah kerugian yang ditanggung oleh para pelabur melalui skim KWSP adalah berjumlah RM600 juta. Berikutan dengan itu, terdapat beberapa kesatuan-kesatuan sekerja dan Persatuan Pengguna (bunyi macam banyak kesatuan tapi tak dinyatakan berapa banyak dan kesatuan yang mana satu – tidak dinyatakan kecuali FOMCA dan CUEPACS) menggesa kerajaan menghentikan Skim Pelaburan KWSP ini.

Namun begitu, yang dilaporkan memberi kenyataan akhbar ialah Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Nordin Abdul Hamid yang dilaporkan sebagai ’Terkejut” membaca LAPORAN bahawa jumlah terkumpul kerugian ekoran pengeluaran caruman bagi tujuan tersebut berjumlah RM600 juta. Beliau mahu kerajaan campur tangan.

Perkara yang perlu diambil perhatian:

1. Laporan yang dirujuk oleh President kongress adalah LAPORAN AKHBAR iaitu Mingguan Malaysia. (dikatakan bersumber dpd kesatuan sekerja berkenaan)

2. Kesatuan-kesatuan kerja dan Persatuan Pengguna yang manakah yang turut mempertikaikan Skim Pelaburan KWSP ini? Atau hanya 2 ini sahaja iaitu FOMCA dan Cuepacs?

3. Berapa peratusankah RM600 juta itu daripada JUMLAH keseluruhan pelaburan yang dibuat melalui KWSP?

4. Jumlah RM600 juta itu bagi tahun kewangan bila dan berapa lama ianya dilaburkan?

5. Peratus kerugian ini dijana daripada Syarikat mana? Atau sektor mana?

6. MENGAPA tiada dibuat temu ramah dengan PAKAR PELABURAN itu sendiri yang mana mereka ini lebih layak untuk mengulas. Sudah menjadi kebiasaan apa-apa isu sekalipun PASTI ditanyakan kepada Pakar bidang yang berkenaan tetapi nampaknya perkara ini tidak dilakukan dalam hal ini. Kenapa??

Jawapan peribadi saya:

1. Untuk kemusykilan yang pertama, sepatutnya laporan hendaklah didasarkan kepada penganalisis pelaburan bebas yang dapat memberikan input yang lebih tepat mengikut perspektif pelaburan itu sendiri. Laporan yang sehingga membuatkan President CUEPACS itu terkejut adalah Laporan yang dibuat oleh Mingguan Malaysia. Tuan-tuan dan puan-puan sendiri lebih maklum akan kredibiliti akhbar lidah kerajaan ini berkaitan dengan laporan-laporan berita yang disampaikannya – Perlu saya ulas lagi ker? Cukup la kot –

2. Kemusykilan kedua ini berkait dengan kredibiliti Akhbar itu tadi. Adakah cukup dengan hanya membuat andaian secara blanket kesatuan itu kesatuan itu bla bla bla bla... Adakah ini bentuk laporan yang bertanggungjawab? Kita tunggu sahaja lah.

3. Kemusykilan ketiga ini agak teknikal dan berdasarkan kepada fakta. Mari kita buat analisis ringkas akan peratusannya.

Jumlah keseluruhan Pelaburan KWSP = RM 9,760,000,000.00
Jumlah yg dikatakan rugi = RM 600,000,000.00

Jumlah peratusan 100% = 9,760,000,000.00 * 1% = 97, 600,000

Peratusan ’rugi’ = 600,000,000 ≈ 6.14754%

Peratusan kerugian ialah 6%, sudahkah diselidiki akan penyusutan ini disebabkan oleh apa? (itu sebab kena tanya pakar pelaburan, kalau tanya President CUEPACS beginilah jadinya – oh Ya! PM pun ada komen, yang tu nanti saya ulas satttt je lagi).

a. Penyusutan juga perlu dilihat daripada sudut apa ianya menyusut, adakah
daripada tindakan mengambil untung? – Pelabur menjual Unit Amanahnya setelah mencapai target, atau menyusut tanpa ada pelabur yang menjual unit Amanahnya?. Biasalah keluar masuk pasaran untuk mana-mana pelaburan saham sekalipun dan pelaburan Unit Amanah ini tidak terkecuali.

b. Perlu juga diambil kira akan jumlah pelabur yang telah mencapai umur 55
yang mana mereka ini boleh mengeluarkan kesemua caruman mereka daripada KWSP. Suka diingatkan bahawa untuk melayakkan melabur dalam Skim ini, seseorang perlu mempunyai sejumlah minima RM55k dalam tabung 1. Berapa ramai yang telah hampir mencapai umur persaraan yang mana mereka boleh mengambil semua caruman mereka?. Adakah perkara-perkara ini telah diambil kira?

c. Setiap pelaburan daripada Skim KWSP ini adalah berasaskan kepada lebihan daripada RM50,000 jumlah tabungan dalam Tabung 1 KWSP. Dalam erti kata lain, diambil kira akan jumlah minima pelaburan ialah RM1,000 maka jumlah dalam Tabung 1 bagi melayakkan untuk melabur dalam skim ini ialah RM55,000. Ini bermakna RM55,000 – RM50,000, sejumlah RM5000 yang boleh dilaburkan. Dan dari RM5000 ini, hanya 20% sahaja yang boleh dilaburkan pada setiap 3 bulan (termasuk proses EPF - 4 bulan). Maknanya di sini, setiap pelaburan yang dijual akan mengambil masa untuk dilaburkan semula. Contohnya ialah seperti berikut:

i. Pelabur A, telah melabur dgn Skim KWSP sejak sekian lama. Jumlah pelaburan beliau berserta pulangan pelaburan telahpun mencecah RM150,000.00. Beliau pada satu ketika itu telah bercadang untuk mengambil keuntungan (profit taking) memandangkan harga yang begitu baik. Oleh itu, beliau telah menjual Unit Amanah Sahamnya itu. Memandangkan ianya dibawah Skim KWSP dan beliau belum memenuhi syarat-syarat pengeluaran caruman KWSP, maka duit keuntungan + pelaburan tersebut akan dimasukkan kembali ke KWSP!

ii. Setelah itu, selang dalam jangkamasa yang tertentu beliau telah membeli semula Unit Amanah Saham tersebut. Pada ketika itu, jumlah pelaburan beliau yang boleh dikeluarkan adalah sebanyak RM150,000 X 20% = RM30,000 sahaja. Dan dalam masa 3 hingga 4 bulan akan datang, baru boleh dikeluarkan lagi 20% iaitulah RM24,000 untuk pelaburan tambahan. Maknanya, dalam setahun, hanya 3 kali pelaburan dapat dibuat. Oleh itu, sejumlah RM150,000 yang dikeluarkan pada awalnya itu, akan mengambil masa hampir 2 tahun untuk dilaburkan semula sepenuhnya!! (20 bulan).
Berdasarkan kepada perkara ini, sekiranya berlaku aktiviti mengambil untung (profit taking) ini secara berkumpulan – mengikut trend- maka sudah tentulah akan berlaku penyusutan jumlah pelaburan dalam Skim KWSP, adakah perkara ini diambil kira?

4. Umum mengetahui, Pelaburan Unit Amanah Saham adalah Pelaburan Jangka Panjang, justeru itu Laporan Prestasi merentasi tahun antara tahun 3, 5, 10 dan seterusnya. Ianya tidak berdasarkan kepada tahun kewangan semasa semata-mata! Pelaburan didalam Unit Amanah saham adalah seumpama pelaburan membuka kedai runcit atau mini market.

Untuk perniagaan Mini Market, margin keuntungannya diletakkan dalam jangkamasa setahun. Ini bermakna, peniaga Mini Market akan beroperasi dalam ’kerugian’ pada bulan bulan awal perniagaannya sehinggalah dijangkakan membuat keuntungan setelah setahun dari tarikh dia mula berniaga (mungkin sahaja lebih awal). Sekiranya setahun ia masih tidak membuat keuntungan, maka baru dirumuskan perniagaanya itu tidak berdaya Maju! Oleh itu, peniaga Mini Market, contohnya memerlukan modal sebanyak RM 300 ribu tidak dapat tidak perlu menyediakan dana yang mencukupi untuk dia beroperasi dalam keadaan ’rugi’ pada awal awal bulan perniagaannya. Untuk itu, ia perlu menyediakan sekurang kurangnya dalam kes ini RM100,000 untuk ’sustainability’ perniagaannya sehinggalah ia mendapat ’break even’ dalam jangkaan jangkamasa setahun!


Begitu juga untuk pelaburan Unit Amanah Saham, secara umumnya, ianya terbahagi kepada 3 jenis pelaburan (berdasarkan kepada ’Financial Goals’ pelabur itu sendiri). Pelaburan tersebut ialah:

a. Pelaburan Jangka Pendek = antara 3 hingga 5 tahun. (bukan setahun!!)
b. Pelaburan Jangka sederhana = 5 tahun ke 10 tahun.
c. Pelaburan Jangka Panjang = 10 tahun ke atas (yang ini yang paling disyorkan)

Mengikut laporan yang dibuat oleh Mingguan Malaysia itu, saya percaya (andaian)
ianya dibuat berdasarkan Laporan Tahunan KWSP yang mana ianya hanyalah meliputi tahun kewangan semasa 2004-2005 ! Sekiranya teori ini betul, maka laporan jenis ini tak boleh dijadikan kayu ukur kepada Prestasi Pelaburan Unit Amanah!!! Laporan sepatutnya ialah laporan yang dibuat oleh badan pelaburan bebas seperti Edge-Lipper atau The Star/Standard Poor Awards dan sebagainya. Laporan jenis inilah yang lebih menyeluruh dan patut digunakan untuk menilai prestasi Unit Amanah Saham dan bukannya laporan tahunan KWSP!!! Laporan tahunan KWSP boleh diibaratkan sebagai bulan bulan awal bagi seorang peniaga Mini Market / Peruncitan.

Kenapa pelaburan Unit Amanah rugi dalam Jangkamasa pendek?

Sebenarnya, setiap urusan jual beli Unit Amanah Saham adalah berdasarkan kepada harga pasaran semasa. Dalam ertikata lainnya, ada Harga Beli dan Harga Jual. Harga jual ini telah dimasukkan caj perkhidmatan ke dalamnya. Ini menjadikan harga jual dan harga beli yang berbeza. Prinsipnya sama macam jual beli lainnya, untuk untung, ’Beli Murah, Jual Tinggi = Untung” . Contohnya harga Beli ialah 0.8251 dan harga jual ialah 0.8787 (caj 6.5%). Di sini, bezanya ialah 0.79sen. Naik turunnya harga Unit Amanah ini adalah dalam volume yang kecil dan tidak seperti turun naiknya Pasaran Stok. Untuk itu, dalam sebulan mungkin pergerakan naiknya hanyalah 10sen. Sekiranya pelabur melabur dalam sebulan dan hendak mengeluarkan pelaburannya, dia akan mengalami kerugian. Setiap pengeluaran, maka caj 6.5% yang di atas itu akan dikenakan – untuk jual semula- Syarikat ikut harga beli- . Untuk pelabur yang bercadang untuk menggunakan wangnya untuk objektif kewangannya sendiri, contohnya setahun, tidak digalakkan untuk melabur di Unit Amanah Saham walau kemungkinan untuk untung tetap ada berdasarkan kepada pulangan dividen yang diberikan namun ianya tidak digalakkan. – sila rujuk Prinsip Dollar Cost Average.

5. Terdapat lebih daripada 40 buah syarikat (UTMC) pelaburan Unit Amanah Saham ini. Syarikat manakah yang menunjukkan prestasi yang buruk? Sepatutnya, syarikat yang tidak menguruskan dana dengan baik inilah yang ditarik balik kebenaran daripada menyertai Skim ini dan bukannya dihukumkan keseluruhan UTMC secara umum!! Tidak dinafikan ada diantara UTMC ini yang tidak ’perform’ dan mengalami kerugian atau memberikan pulangan yang rendah tapi jangan nafikan juga ada UTMC yang memberi pulangan berlipat kali ganda daripada apa yang KWSP boleh beri pada setiap tahun!! – Public Mutual Berhad. - Pengalaman senior pelaburan saya sendiri (semalam – 6 ogos- kebetulan kami bersembang), tidak ada seorang pun pelaburnya yang mengalami kerugian setakat ini. Pelaburnya yang telah melabur lebih 5 tahun sudah pun menggandakan sekali ganda pelaburan KWSP mereka!!

6. Yang terakhir ingin saya sentuh ialah kegagalan pihak akhbar ini untuk merujuk kepada pakar yang berotoriti untuk menyentuh akan perkara ini. Yang ditanyai ialah President CUEPACS dan FOMCA yang mana sudah tentulah mereka risau melihatkan ’kerugian’ atas kertas tersebut. Persoalannya di sini, pihak berautoriti dalam hal ehwal ini ialah Suruhanjaya Sekuriti. Dapatkan pendapat dan kenyataan daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) ini berkenaan akan hal ini. SC ini bertanggungjawab atas segala hal pelaburan samada Unit Amanah Saham, Pasaran Hadapan, Pasaran Stok dan FOREX dsbnya. Mana kenyataan SC??? Setidaknya, tanya lah ke BSKL ker, atau mungkin yang kita biasa dengan Pakar Pelaburan Saham, Salleh Majid . Pendapat orang yang ahli inilah yang lebih diraikan dan terpecaya.

KESIMPULAN


Saya sebagai seorang yang menceburkan diri dalam bidang ini tidak nampak akan kebenaran berita ini. Banyak perkara yang terlepas pandang dan tidak disentuh. Bukan mudah untuk merangsang bangsa saya, bangsa Melayu ini untuk melabur. Mereka lebih takutkan akan risiko walaupun saya buktikan kepada mereka bahawa pulangannya adalah melebihi risiko yang ditanggung oleh pelabur. Kebanyakan pelabur dalam Unit Amanah Saham ini adalah bangsa Cina yang lebih sanggup untuk mengambil risiko. Mereka ini telah lama terdedah kepada budaya berniaga yang mana sentiasa bermain dengan risiko. Dalam semua bentuk pelaburan, Unit Amanah Saham sebenarnya adalah pelaburan yang paling rendah risikonya jika dibandingkan dengan Pasaran Saham, Pasaran Hadapan, FOREX dsbnya. Saya menumpukan kepada Pelabur Melayu (Majoriti Islam – ada juga Cina Muslim dgn saya) kerana saya tidak mahu terbabit dengan pelaburan yang tidak menepati Syarak. Sekiranya pelabur saya adalah bukan Islam dan mereka mahu melabur ke Dana yang tidak Islamik, saya tidak boleh menghalang mereka!! Oleh itu, saya tumpukan hanya kepada Pelabur Muslim dan di negara ini adalah majoritinya bangsa Melayu. Nampaknya setelah ini, semakin takutlah pelabur Melayu ini untuk melabur!

Sekiranya ada tindakan yang akan diambil, diharap tindakan ini biarkan kena pada tempatnya. Saya mengsyorkan supaya sekiranya kerugian ini dikesan daripada Syarikat syarikat UTMC yang tidak berjaya menguruskan dana dana amanah ini dengan baik – menjana pulangan- , kebenaran untuk mereka terus berurusniaga dalam Skim ini hendaklah ditarik balik. Ianya menjadi peranan Kerajaan untuk memantau prestasi UTMCs ini dan menarik balik kebenaran kepada mereka untuk terlibat dalam Skim ini supaya UTMC lainnya yang berdaya maju tidak terbabit sama.

Saya terpana juga bila PM kita juga mengulas akan perkara ini. Nampak beliau agak berhati hati dalam mengeluarkan pendapatnya. Biasanya beliau hanya mendiamkan diri dalam kebanyakan isu (kecuali isu Kongsi raya). Terdetik di hati saya.. ”hmmmm..agaknya betul apa yang dituduh oleh Pembangkang, Kerajaan TAK ADA DUIT untuk membiayai RMK 9” . Tadi sempat menonton rancangan ’bersemuka dengan PM” di TV, dalam perbincangan itu, ada disentuh RMK9. PM ada sebab 3 kali ”duit ada” walau yang ditanya hanya sekali, tetapi di masa-masa lainnya dia cakap ’duit ada’ tanpa ditanya..kenapa ya? Pasang-pasanglah teropong anda!! (saja nak nakal nakal skit..tak ada apa-apa..jangan gossip!!)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home